PERUTUSAN AIDILFITRI 1431 H ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar.
Alhamdulillah, kita telah berjaya menyempurnakan ibadah besar berpuasa di bulan Ramadhan. Sebagai tanda kejayaan ini, kita telah dianugerahkan oleh Allah swt Hari Kemenangan atau Hari Raya Aidilfitri. Perayaan ini adalah kurnian Allah swt secara khusus kepada kepada seluruh masyarakat Muslimin kerana kemenangan kita berdepan dengan hawa nafsu sepanjang sebulan yang lalu. Kemenangan ini juga adalah salah satu tanda pencapaian kita di dalam perjalanan rohani menuju taqwa iaitu sebuah darjat kesempurnaan insan yang tertinggi di sisi Allah swt. Cita-cita mencapai taqwa adalah falsafah terpenting ibadah berpuasa di bulan Ramadhan sebagaimana firman Allah di dalam surah al- Baqarah, ayat 183.
“Wahai orang yang beriman! Diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”.
Firman Allah ini memberi petunjuk akan kepentingan taqwa di dalam kehidupan seseorang insan. Seseorang yang mencapai tingkat taqwa ialah seorang yang sentiasa di dalam keadaan sedar akan perhubungan dirinya dan keterkaitan seluruh amal perbuatannya dengan Allah swt, Pencipta dan Pemilik seluruh alam ini.. Pencapaian tahap taqwa ini juga bererti seseorang Muslim itu telah memenuhi pengertian al-Ihsan sebagaimana dapat difahami dari sabda Nabi Muhammad saw: “ Ihsan itu ialah apabila kamu melakukan ibadah, kamu merasakan dirimu sedang melihat Allah swt dan sekiranya kamu tidak melihatnya, maka kamu merasakan bahawa Allah swt sedang melihat kamu”. (Hadis Riwayat Muslim).
Oleh itu, bersempena dengan sambutan Aidilfitri pada tahun ini, marilah kita meningkatkan azam dan cita-cita kita untuk menjadi generasi yang bertaqwa. Dalam ertikata lain, kita hendaklah berazam untuk menjelmakan prinsip dan nilai-nilai taqwa di dalam seluruh aspek kehidupan harian kita. Sesungguhnya, sekiranya kita dapat menjelmakan nilai-nilai taqwa ini, ia bermakna kita adalah tegolongan dari kalangan orang-orang yang memperoleh kemenangan kerana telah menyempurnakan maksud dan tujuan sebenar ibadah terbesar Ramadhan. Usaha menyempurnakan nilai-nilai taqwa menuntut kita untuk meneruskan dayausaha pembangunan diri dan masyarakat secara lebih gigih. Di peringkat kehidupan individu, kita harus meningkatkan disiplin kerohanian menerusi pengukuhan tahap pemahaman dan penghayatan Islam secara menyeluruh. Untuk itu, amalan-amalan ibadah khusus seperti bersolat, berzakat dan membantu golongan yang memerlukan harus dibudayakan dengan berterusan. Amalan-amalan mulia ini akan mendekatkan diri kita kepada Allah swt secara berterusan.
Sepanjang Aidilfitri ini, kita hendaklah mengambil kesempatan untuk meningkatkan silaturrahim dan ukhwah sesama sesama sanak saudara dan sahabat handai. Pada hari yang mulia ini, kita haruslah memohon maaf terutama kepada ibubapa dan sesiapa sahaja atas segala kesalahan dan kesilapan yang disegajakan atau yang tidak disegajakan. Dengan penyataan kemaafan ini,kita akan memperteguhkan semangat ukhwah dan persaudaraan sesama Muslim. Namun, suatu yang lebih bermakna lagi dari budaya bermaafan ini ialah kerana ia akan menggolongkan diri kita dari kalangan orang-orang yang bertaubat . Bagi mereka yang bertaubat, ganjaran dan limpahan kurnia Allah amat besar dan luas sekali. Allah swt berfirman di dalam surah Ali-Imaran, ayat 133:
“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.”
Bagi merealisasikan prinsip taqwa di dalam kehidupan juga, adalah wajar untuk kita menyeru bersempena dengan sambutan Aidilfitri tahun ini kepentingan bagi usaha meningkatkan interaksi atau perhubungan kita dengan al-Quran dan al-Sunnah. Ini bermaksud, kita harus berazam untuk membudayakan al-Quran dan al-Sunnah di dalam kehidupan secara menyeluruh. Dalam erti kata lain, kita hendaklah bercita-cita untuk meningkatkan budaya bertilawah iaitu membaca dan merenung ayat-ayat suci al-Quran dan menghayati cara hidup Rasulullah saw. Kedua-dua al-Quran dan al-Sunnah ialah sumber terpenting kehidupan seorang Muslim. Di dalam sebuah sabda Nabi Muhammad, kedua-dua sumber ini ialah petunjuk utama dan sekiranya seseorang itu benar-benar menghayati erti dan pengajaran dari kandungan maka seseorang itu tidak mungkin akan tergelincir di dalam kesesatan dalam kehidupannya.
Bagi tujuan ini, kita hendaklah memperbanyakkan ibadah bertilawah al-Quran sebagai tanda kita mengingati Allah dan mendekatkan diri kepadaNya. Setelah itu, kita hendaklah beriltizam untuk memahami kandungan al-Quran dan menghayati sunnah dan sirah Rasulullah. Bersempena dengan Aidilfitri tahun ini, kita juga harus beriltizam untuk meningkatkan sumbangan dakwah menyampaikan risalah Islam ke arah melahirkan masyarakat bertaqwa dengan lebih produktif . Pada masa kini, terdapat banyak saluran dan pendekatan yang boleh dimanafaatkan bagi mendekatkan masyarakat kepada penghayatan cara hidup beragama. Kita perlu memanafaatkan perkembangan teknologi hari ini bagi membangunkan produk-produk dakwah terbaik dan menarik kepada masyarakat khususnya kepada generasi muda, remaja dan kanak. Di samping itu, usaha-usaha dakwah menerusi lisan dan tulisan hendaklah diteruskan dan digembleng secara lebih teratur. Ini bagi memastikan arus dakwah terus berkembang dan membentuk sebuah gelombang besar bagi membangunkan sebuah Ummah yang diteraskan kepada prinsip-prinsip taqwa kepada Allah.
Bersempena dengan Aidilfiti ini juga, marilah kita memperbanyakan doa kepada Allah:
اَللَّهُمَّ أَصْلِحْ لَنَا دِيْنَناَ الَّذِى هُوَ عِصْمَةُ أَمْرِنَا وَأَصْلِحْ لَنَا دُنْيَانَ الَّتِى فِيْهَا مَعَاشُنَا وَأَصْلِحْ لَنَا آخِرَتَنَا الَّتِى فِيْهَا مَعَادُنَا وَاجْعَلِ الْحَيَاةَ زِيَادَةً لَنَا فِى كُلِّ خَيْرٍ وَاجْعَلِ الْمَوْتَ رَاحَةً لَنَا مِنْ كُلِّ شرٍّ
“Ya Allah, perbaikilah agama kami untuk kami, karena ia merupakan benteng bagi urusan kami. Perbaikilah dunia kami untuk kami yang ia menjadi tempat hidup kami. Perbaikilah akhirat kami yang menjadi tempat kembali kami. Jadikanlah kehidupan ini sebagai tambahan bagi kami dalam setiap kebaikan dan jadikan kematian kami sebagai kebebasan bagi kami dari segala kejahatan”.
Bagi pihak seluruh kepimpinan ABIM, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh masyarakat Muslimin di Malaysia. Maaf Zahir dan Batin.
Allahu Akbar, Allahu Akhbar, Allahu Akbar.
Sekian.
Muhamad Razak Idris
Presiden ABIM.
Visi ABIM: 'Membina Dan Memimpin Tamadun Khayra Ummah' Misi ABIM: 'Gerakan Islam Yang Komprehensif untuk Merealisasikan Cita-cita Islamiyyah'
Khamis, 9 September 2010
Ahad, 5 September 2010
ABIM Bangi Menghadiri Majlis Berbuka Puasa Rumah Mantan Setiausaha Kewangan ABIM Pusat
Pada 4 Sept 2010 yang lalu, beberapa pimpinan ABIM Bangi telah menghadiri majlis berbuka puasa Y.Bhg Prof Dato’ Ir Dr Hassan Basri, Timbalan Naib Canselor(Akademik dan Antarabangsa) Universiti Kebangsaan Malaysia, di rumah beliau bertempat di Bandar Baru Bangi. Beliau merupakan mantan Setiausaha Kewangan, ABIM Pusat ketika awal tahun 2000.Tujuan program ini diadakan ialah untuk merapatkan hubungan sesama aktivis gerakan dakwah di bulan yang mulia ini. Secara tidak langsung juga hubungan erat yang terjalin ini akan membolehkan usaha-usaha dakwah akan dapat dilaksanakan dengan lebih baik melalui kerjasama pelbagai pihak di Bandar Baru Bangi. Turut hadir ke majlis tersebut adalah Sdr Faisal Abd Aziz, Presiden PKPIM serta pimpinan, pimpinan PKPIM-UKM, pimpinan ABIM Pusat, aktivis WADAH Bangi dan sebagainya.
Rabu, 1 September 2010
Program Penyerahan Sekampit Beras & Majlis Berbuka Puasa ABIM Bangi
Assalamualaikum wrh.wbt.
Dimaklumkan bahawa ABIM Bangi dengan Jawatankuasa Masjid Bangi Lama berdekatan dengan Komuter Bangi akan mengadakan program. Butiran lanjut seperti berikut
Tarikh : 5 September 2010 (Ahad)
Masa : 5.00 petang
Lokasi : Masjid Kariah Bangi berdekatan Pekan Bangi Lama, Kajang, Selangor
Tujuan program ini diadakan ialah untuk membolehkan ABIM Bangi menyampaikan bantuan sekampit beras kepada mereka yang diperlukan di kawangan Bangi Lama. Pada masa yang sama, diadakan majlis berbuka puasa untuk merapatkan silaturrahim sesama ahli mahupun komuniti setempat.
Kepada ahli, aktivis yang ingin menyertai program tersebut sila hubungi Sdr Hammad 013-2070007 untuk maklumat lanjut.
Dimaklumkan bahawa ABIM Bangi dengan Jawatankuasa Masjid Bangi Lama berdekatan dengan Komuter Bangi akan mengadakan program. Butiran lanjut seperti berikut
Tarikh : 5 September 2010 (Ahad)
Masa : 5.00 petang
Lokasi : Masjid Kariah Bangi berdekatan Pekan Bangi Lama, Kajang, Selangor
Tujuan program ini diadakan ialah untuk membolehkan ABIM Bangi menyampaikan bantuan sekampit beras kepada mereka yang diperlukan di kawangan Bangi Lama. Pada masa yang sama, diadakan majlis berbuka puasa untuk merapatkan silaturrahim sesama ahli mahupun komuniti setempat.
Kepada ahli, aktivis yang ingin menyertai program tersebut sila hubungi Sdr Hammad 013-2070007 untuk maklumat lanjut.
Langgan:
Catatan (Atom)