Khamis, 24 November 2011

SEKSUALITI MERDEKA: HORMATI KELUHURAN UNDANG-UNDANG

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada forum “Human Right for LBTIQ: Making it Real in Malaysia” anjuran Majlis Peguam Malaysia dan penganjuran aktiviti yang mempromosi nilai dan hak golongan LGBT oleh Kumpulan Seksualiti Merdeka sepanjang bulan November ini. ABIM memandang serius perkembangan golongan tersebut yang mutakhir ini begitu berani menuntut secara terbuka agar undang-undang Malaysia memberikan hak kepada golongan LGBT atas nama kebebasan hak asasi manusia sejagat.

Kebebasan hak asasi yang dilaungkan oleh golongan LGBT ini adalah bukan sahaja bercanggah dengan ajaran agama Islam malah semua agama telah mengharamkam perhubungan sejenis sesama manusia. Ia adalah nilai songsang dalam masyarakat, dan agama mendefinisikannya sebagai di luar tabi’e.

Selain itu, dalam sejarah ketamadunan manusia, golongan yang mengamalkan dan memperjuangkan kebebasan homoseks ini dianggap sebagai golongan pelampau (al-‘adun) yang telah dibinasakan oleh Allah.

Undang-undang negara adalah berasaskan agama. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan mengangkat Islam sebagai agama persekutuan, disamping turut memperuntukkan bahawa agama-agama lain boleh diamalkan di seluruh persekutuan. Kerana itu mana-mana tindakan yang bertentangan dengan agama adalah dianggap satu kesalahan.

Kanun Keseksaan, di bawah Seksyen 377 telah menjelaskan bahawa perbuatan perhubungan sesama jantina adalah termasuk di bawah perbuatan di luar tabi’e dan ianya menjadi suatu kesalahan. Malah di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri ia adalah suatu kesalahan syariah sekiranya dilakukan oleh orang Islam. Begitu juga dalam konteks perkahwinan, undang-undang negara telah mengharamkan perkahwinan sesama jenis.

ABIM berpandangan sekiranya kebebasan asasi ini diangkat dan diiktiraf oleh undang-undang banyak implikasi perundangan boleh berlaku. Antaranya perhubungan sejenis ini akan diiktiraf, perkahwinan sesama jantina menjadi sah, dan pertukaran jantina boleh menjadi suatu yang halal di negara ini.

ABIM ingin melahirkan kebimbangan sekiranya perkara ini berlaku, maka kehancuran sistem nilai dalam masyarakat akan menjadi parah. Sistem institusi keluarga juga bakal menuju kehancuran.

Selain itu, perjuangan LGBT ini jelas bercanggah dengan nilai-nilai moral dan kesusilaan seperti mana yang terkandung dalam falsafah negara. Unsur negatif ini yang meresap dalam masyarakat akan menggagalkan sistem moral dan norma-norma ketimuran yang boleh menjerumus kita untuk menjadi seperti negara Barat yang tidak lagi berpegang kepada prinsisp agama dalam kehidupan.

Justeru, ABIM menggesa pihak yang memperjuangkan hak asasi golongan LGBT ini menghormati keluhuran undang-undang negara demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan rakyat.

ABIM turut menggesa agar kumpulan terbabit menghormati sensitivi masyarakat beragama di negara ini dengan tidak mempromosikannya secara terbuka kerana dikhuatiri mampu menggugat ketenteraman awam dan keamanan negara selain mencipta fenomena yan tidak sihat di kalangan masyarakat.

ABIM menyeru agar semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), parti politik, jabatan kerajaan, dan masyarakat keseluruhannya menolak perjuangan kumpulan yang mendokong LGBT ini, dan mengecam secara khusus Kumpulan Seksualiti Merdeka yang telah menjadikan bulan November sebagai bulan meraikan aktiviti songsang yang bercanggah dengan nilai moral dan agama.

ABIM menyambut baik ketegasan pihak PDRM dalam menangani kumpulan terbabit. Oleh itu, ABIM berharap agar lain-lain agensi penguatkuasaan seperti JAKIM, dan Jabatan Agama Islam Negeri dapat memainkan peranan yang lebih serius dan progresif khususnya dalam soal pemantauan dan pencegahan supaya aktiviti mereka tidak terus mencemarkan institusi moral masyarakat.

MOHAMAD RAIMI AB RAHIM
Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Rabu, 9 November 2011

Kumpulan Pengkajian Islam (usrah) 09112011

Dimaklumkan usrah mingguan akan diadakan seperti biasa. Butiran lanjut seperti berikut

Tarikh : 09 Nov 2011 (Rabu)
Masa : 9.30 mlm
Lokasi : Sekretariat ABIM Bangi, No 15, Jalan 1/4A, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi, Selangor

Semua anak muda yang berminat dijemput hadir ke program ini.

Selasa, 8 November 2011

PERUTUSAN EIDUL ADHA 1432H

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillah hil Hamd.

Tahmid kesyukuran ini melambangkan kerendahan hati manusia di dalam mengabdikan diri setulus-tulusnya terhadap Allah s.w.t. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin mengucapkan selamat menyambut Eidul Adha 1432H kepada seluruh umat Islam di Malaysia serta para jemaah Haji yang sedang menunaikan ibadah berkenaan di tanah suci pada ketika ini.

Bersempena dengan sambutan Eidul Adha yang disambut secara meriah saban tahun, adalah menjadi harapan agar semangat pengorbanan yang merupakan tema teras Eidul Adha dihayati oleh seluruh umat Islam di negara ini. ABIM berharap agar Eidul Adha ini menjadi pemangkin ke arah memperkukuh hubungan silaturrahim dan ukhuwwah Islamiah untuk membangun Khayra Ummah dan memelihara kemakmuran negara serta kesejahteraan negara.

ABIM ingin menyeru agar ketibaan Eidul Adha ini juga dimanfaatkan oleh golongan belia untuk menceburkan diri dalam sebarang aktiviti kemasyarakat yang dianjurkan khususnya program ibadah korban yang dianjurkan di surau dan masjid-masjid serta ziarah-menziarahi kaum kerabat. Khusus buat para pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diharapkan kesempatan Eidul Adha ini dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk mendekatkan diri serta bermunajat ke hadrat Allah s.w.t di samping mengulang kaji pelajaran dengan penuh ketenangan.

Akhir sekali, ABIM menyeru agar umat Islam di Malaysia turut mendoakan umat Islam di pelbagai pecahan benua yang sedang melalui pengorbanan getir mempertahankan maruah, keluarga, agama dan negara. Buat umat Islam di Palestin, Kashmir, Chechnya, Selatan Filiphina, Xinjiang, Timur Tengah, doa kami umat Islam di Malaysia sentiasa bersama kalian dalam semarak Eidul Adha ini.

Eid Mubarak! Kum Am Wa Antum Bil Khair!

MOHAMAD RAIMI AB RAHIM,
Setiausaha Agung,
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

sumber : http://www.abim.org.my/

Khamis, 3 November 2011

TERUSKAN PERKASA BAHASA MELAYU: ABIM

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin mengulangi pendirian tegasnya menyokong usaha pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengantar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran selari dengan usaha kerajaan memperkasa sistem pendidikan kebangsaan dan mendaulat Dasar Bahasa Kebangsaan. ABIM bersama dengan lebih seratus badan bukan kerajaan (NGO) yang lain menyambut baik komitmen kerajaan khususnya Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran dalam menangani isu PPSMI yang terkait secara langsung dengan usaha memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

ABIM menyokong penuh usaha memperkasa sistem pendidikan kebangsaan yang bertanggungjawab ke arah penerapan nilai dan semangat kebangsaan. Oleh itu, kerajaan digesa agar tidak berkompromi dengan sebarang cadangan dan usaha pihak tertentu yang membelakangi peranan bahasa Melayu sebagai pasak sistem pendidikan kebangsaan.

Oleh hal yang demikian, cadangan beberapa pihak agar diberikan autonomi kepada pihak sekolah, ibu bapa dan guru dalam memilih sama ada PPSMI atau MBMMBI adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan sama sekali bertentangan dengan misi mendaulatkan bahasa Melayu.

Selain itu, persoalan sama ada konsensus umum atau kesepakatan kumpulan berautoriti. ABIM akur sekiranya benar dakwaan terdapat suara umum yang mahukan PPSMI dikembalikan namun sejarah membuktikan bahawa suara majoriti tidak selalunya betul lebih-lebih lagi sekiranya ia adalah majoriti di kalangan minoriti. Justeru yang lebih penting adalah konsensus para cendiakiawan dan pakar yang berautoriti dan lebih arif dalam bidang ini tanpa mengkesampingkan pandangan orang ramai termasuk ibu bapa, guru serta pemimpin masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO).

Oleh itu, kerajaan disaran memperkasa medium yang sedia ada bagi meningkatkan partisipasi PIBG dan pimpinan masyarakat dalam penggubalan sesuatu dasar pendidikan.

Disamping itu, pihak Kementerian Pelajaran diminta menyiasat dakwaan bahawa terdapat arahan dari pihak tertentu agar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik diteruskan dalam bahasa Inggeris meskipun teksnya dalam bahasa Melayu kelak. Jika benar, ia adalah sesuatu yang amat mendukacitakan tatkala proses memartabat bahasa Melayu sedang dijayakan.

Konflik bahasa dan perlembagaan yang berlaku di Hong Kong dan Belgium serta kegagalan negara-negara peminjam akut bahasa Inggeris di Afrika wajar dijadikan sempadan agar perkara yang sama tidak terjadi di negara ini. Komitmen China membuka pengajian bahasa Melayu, keteguhan Korea dan Jepun mempertahankan bahasa ibunda mereka perlu diteladani.

Dalam perkembangan berkaitan, ABIM menyambut baik pegenalan Pelan Tindakan Bagi Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di institut pengajian tinggi awam (IPTA) seperti yang diumumkan oleh Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi pada 27 Oktober lalu.

Empat strategi utama antaranya memperkukuh bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran, memperluas penyelidikan dan penerbitan, meningkatkan pengikhtirafan akademik bahasa Melayu serta memperkasa usaha pengantarabangsaanya.

Strategi yang disokong oleh 25 inisiatif lain ini dilihat mampu mengembalikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu selain memastikan proses kelangsungan sistem pendidikan kebangsaan di peringkat rendah dan menengah. Oleh itu, ABIM berharap pelan ini dapat disambut dan direalisasikan oleh pihak IPTA di seluruh negara. Pihak NGO dan persatuan pelajar disaran agar turut membantu menjayakan misi murni ini.

Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dituntut agar lebih agresif menterjemah karya-karya agung ke dalam bahasa Melayu selain penterjemahan karya tempatan ke dalam bahasa utama dunia yang lain. Usaha ini menuntut partisipasi aktif para penyelidik dan sarjana universiti dengan pihak ITNM. Kejayaan Jepun dan Korea dengan lebih 8000 penerbitan ilmiyah dalam bahasa ibunda mereka seharusnya menyuntik semangat baru kepada para sarjana kita.

Akhirnya, sempena Bulan Bahasa Kebangsaan, ABIM mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya para pemimpin untuk merenung sejenak kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Tun Abdul Razak suatu ketika dahlulu, “bahawa kedudukan sesuatu bangsa itu juga bergantung kepada himpunan ilmu dalam bahasanya iaitu kepustakaan dalam bahasanya” selain kritikan Pak Asraf “pupus bahasa, pupuslah bangsa” kerana bangsa kita, tanggungjawab kita.

ABU QASSIM NOR AZMI
Ketua Biro Penerangan
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Sumber : http://www.abim.org.my/