Sabtu, 31 Oktober 2009

Seminar Pendidikan Tinggi Islam Ke-7, KDH


31 Okt 2009 - Kolej Dar al Hikmah (KDH) telah mengadakan Seminar Pendidikan Tinggi Ke-7 yang merupakan acara tahunan di Auditorium, Institut Latihan Kehakiman & Perundangan (ILKAP), Jabatan Perdana Menteri di Bandar Baru Bangi. Lebih 200 orang peserta menghadiri program tersebut. Seminar ini diadakan bersempena 20 tahun IPI-KDH diwujudkan di negara ini. Program ini mendapat tajaan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Hospital Pakar Al-Islam. Antara para pembentang termasuk Tan Sri Prof. Dr. Mohd Kamal Hassan, Kuliyyah Usuluddin & Perbandingan Agama UIAM yang juga merangkap Mantan Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, Felo Penyelidik Kanan, Pusat Dialog Peradaban UM, Ust. (Dr) Muhammad Uthman El-Muhammady, Institut Pemikiran & Ketamadunan Islam (ISTAC) UIAM, Prof. Dr. Nik Azis Nik Pa, Jab. Pendidikan Matematik dan Sains,Fakulti Pendidikan UM, Dr. Achmad Satori Ismail, UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta, Indonesia, Prof. Dr Sidek Baba UIAM, Dr. Yap Sin Tian (Dong Jiao Zong), Prof. Dr. Nagendralingan UPSI. Tema seminar ialah membina generasi Ilmuan Ulu'l Albab. Semoga seminar ini dapat menjayakan misi pencerahan minda dan merungkai kekeliruan tentang makna pendidikan yang bukan sahaja alat mencapai matlamat kebendaan dan memenuhi pasaran industri tetapi yang jauh lebih penting melahirkan generasi yang mempunyai kesedaran yang mendalam tentang nilai-nilai ketuhanan dan diterjemahkan di dalam masyarakat. Ia sekali gus mengangkat tamadun bangsa dan negara.

Jumaat, 30 Oktober 2009

Progran terkini ABIM Bangi (30102009)

Berikut program ABIM Bangi yang boleh disertai di kalangan mereka yang berminat

1) Kump. Pengkajian Islam (usrah) 2 Generasi HELWA ABIM Bangi

Tarikh : 30 Okt 2009 (Jumaat)
Masa : 8.30 mlm
Lokasi : PEKKA, No 45, Jln 8/3, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor
Pengisian oleh : Pn. Fadhlina, Naib Presiden ABIM (HELWA)

Beliawanis yang berminat dijempur hadir

2) Seminar Pengajian Tinggi Ke-VII

Tarikh : 31 Okt 2009 (Sabtu)
Masa : 8.00 pagi - 5.00 ptg
Lokasi : Institute Latihan Kehakiman & Perundangan (ILKAP), Bangi, Selangor
anjuran : Kolej Dar al Hikmah (KDH)
Bayaran : Individu - RM45 seorang

Mereka yang berminat dijemput hadir untuk meningkatkan ilmu, meluaskan jaringan dan merapatkan silaturrahim

Khamis, 22 Oktober 2009

Program terkini ABIM Bangi (22102009)

Berikut dimaklumkan beberapa aktiviti yang boleh disertai ahli, aktivis, anak-muda mahupun melibatkan pimpinan ABIM Bangi.

1) Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN)

Tarikh : 22 Okt 2009 (Rabu)
Masa : 11.00 pagi-11.00 mlm
Lokasi : IOI JW Marriot, Putrajaya.

Sdr Ahmad Saparuddin, Naib Presiden Kebangsaan ABIM merangkap YDP ABIM Bangi akan hadir mewakili ABIM

2) Program Sentuhan Jiwa, Santapan Minda Kali-1

Tarikh : 24 Okt 2009 (Sabtu)
Masa : 5.00 pagi - 8.00 pagi
Lokasi : Surau, Kolej Dar al-Hikmah (KDH), Sg Ramal Dalam, Kajang, Selangor

3) Mesyuarat Lembaga Amanah Komplek Kebajikan Rukaiyah (KKR) - AMAL

Tarikh : 27 Okt 2009 (Selasa)
Masa : 8.15 mlm
Lokasi : Bilik Mesyuarat, KKR-AMAL (berhadapan IPGM, Sg. Merab, Selangor)

4) Kumpulan Pengkajian Islam (usrah) atau Islamic Study Group (ISG)

Tarikh : 28 Okt 2009 (Rabu)
Masa : 9.00 mlm
Lokasi : PEKKA, No 45, Jln 8/3, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor

5) Seminar Pendidikan Tinggi VII (Sempena Sambutan 20 Tahun KDH)

Tarikh : 31 Okt 2009 (Sabtu)
Masa : 8.00 pagi - 5.00 ptg
Lokasi : Auditorium, Institut Latihan Kehakiman & Perundangan (ILKAP), Bandar Baru Bangi

Bayaran :
1. Wakil agensi kerajaan /swasta - RM95
2. Individu / Pelajar - RM45
3. Pelajar KDH - RM35

Jika berminat sertai seminar, sila hubungi 03-8925 2392 (Pn. Salawati/Pn. Zahrah), 012-237 4642 (Pn. Norazizah). No Faks : 03-8925 2477. web :http://seminarhikmah.blogspot.com atau www.hikmah.edu.my

Isnin, 19 Oktober 2009

Kumpulan Pengkajian Islam (usrah) 21102009

21 Okt 2009 - Kumpulan Pengkajian Islam (usrah) telah diadakan 9.00 pm di PEKKA, No 45, Jalan 8/3, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor. Surah Muzammil (Sesi 2): Ayat 10 - 19 telah dibincangkan dengan lebih lanjut merujuk kepada Tafsir Al-Azhar, buku-buku rujukan dan sebagainya. Terdapat 3 tajuk besar yang wajar difikirkan berdasarkan ayat-ayat tersebut iaitu 1)Cabaran dakwah & persiapannya 2)Gambaran Kiamat 3)Tugas misi dakwah yang perlu disampaikan.

Menurut, Tafsir Fil Zilal tulisan Syed Qutb, cabaran dakwah dihadapi dengan kesabaran dan zikrullah (solat, puasa, bacan al-quran dan sebagainya). Usah lagi melayan para penentang, pendusta dakwah, kita perlu terus komited menyampaikan dakwah secara berkesan. Biarlah Allah memberikan balasannya.

Malah, menurut buku bertajuk : Unsur-unsur Dinamika Dalam Islam, tulisan Sayid Sabiq, pertentangan kebenaran dan kebatilan telah lama berlaku. rujuk Kisah Nabi Adam & Hawa - makan buah kuldi, Kisah Habil & qabil di bumi. Ia adalah Sunatullah atau liku-liku, asam garam perjuangan dalam menegakkan kebenaran. Antara prasyarat yang perlu dilalui orang yang berjuang untuk kebenaran ialah 1)Mereka hendaklah berpegang kepada prinsip kebenaran dalam apa jua keadaan 2)Mereka perlu tunjukkan kebenaran (berani) jika ditekan daripada pelbagai sudut 3) Bertanggungjawab dan berani menerima risiko sesuai dengan batas kemampuannya.

Selain itu juga, perlu difahami setiap kebangkitan suatu bangsa akan ada idealog (pemikir-pemimpin) yang akan terus komited menonjolkan idea-idea kebenaran yang dimiliki. Dan jika sesuatu bangsa hilang nilai-nilai kebenaran di dalam masyarakat, maka, negara tersebut akan hilang kebesaran, maruah mahupun harga dirinya kepada yang lain.

Sumber rujukan : Buku : Manhaj Pendidikan Gerakan Islam : Sukatan & Kaedah Pelaksanaan Usrah terbitan ABIM, Cetakan Pertama 2009. Penyusun : Dr. Mohd Farid Mohd Shahran, Pengantar : Dr. Abdul Halim el-Muhammady

Ahad, 18 Oktober 2009

Sambutan Eidulfitri ABIM Bangi 2009 Meriah


17 Okt 2009 - ABIM Bangi telah mengadakan Sambutan Eidulfitri 2009 bertempat di Pusat Khidmat Komuniti (PEKKA), No. 45, Jalan 8/3, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi. Ucapan Perasmian telah disampaikan oleh Sdr Khairuddin, Setiausaha, ABIM Selangor. Program ini telah mendapat sambutan yang baik daripada ibu-bapa, guru-guru Pusat Tahfiz dan TASKI serta komuniti setempat. Ia juga secara tidak langsung dapat mengukuhkan silaturrahim antara pimpinan ABIM Bangi dengan pelbagai lapisan masyarakat termasuk mantan pimpinan ABIM Bangi yang kini bergerak aktif melalui Wadah Pencerdasan Ummat (WADAH) khususnya di Hulu Langat. Antara aktiviti lain yang turut diadakan termasuk pertandingan mewarna di kalangan kanak-kanak yang ada. Taklimat ringkas tentang isu JAG SIS Kartika juga telah disampaikan oleh Pn. Fadhlina, Naib Presiden ABIM. Beliau berharap agar komuniti memahami isu ini dan bersama-sama ABIM menjayakan agenda memperkasa syariah di negara ini. Selain itu juga, Kempen Pendaftaran Sukarelawan PEKKA turut diadakan agar komuniti yang prihatin dapat bersama-sama ABIM Bangi di dalam usaha-usaha kemasyarakatan.

Jumaat, 16 Oktober 2009

Ceramah Isu Kartika di IPGM, Sg Merab, Selangor


15 Okt 2009 - ABIM Bangi yang diwakili Sdr Hammad, telah dijemput menjadi salah seorang panel Forum Isu Kartika di Masjid, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Kampus Pendidikan Islam selepas solat Maghrib bersama-sama Pn. Fadhlina Siddiq, Naib Presiden, ABIM. Forum tersebut dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IPGM. Sdr Hammad memulakan perbincangan dengan menerangkan tentang hukuman jika bersabit dengan kesalahan minum arak iaitu 3 tahun penjara, bayaran denda RM5000 dan 6 kali sebatan. Beliau juga menerangkan tentang bidang kuasa mahkamah syariah dan mahkamah sivil. Kuasa berkaitan isu-isu Islam tertakluk di dalam bidang kuasa negeri dan bukan persekutuan. Maka, penyelarasan antara kedua-dua mahkamah ini perlu ada dan perlu berjalan dalam keadaan harmoni.

Selain itu, Pn. Fadhlina memaklumkan perkembangan gerak-kerja NGO Islam respon kepada Isu JAG SIS : Kartika ini. Jawatankuasa Bertindak Advokasi Syariah Malaysia (JAWAB) telah dilancarkan dan Sekretariat JAWAB di ABIM. Tujuan JAWAB diwujudkan ialah untuk memantau isu-isu syariah dengan lebih berkesan dan proaktif di dalam masyarakat. Beberapa gerak-kerja telah dan akan dilaksanakan oleh NGO Islam sebagai respon kepada isu ini. Ia termasuk membuat laporan polis, laporan ke Jabatan Agama Islam Negeri dan Daerah, Laporan ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan serahan memorandum ke bawah Duli Tuanku Sultan. Kempen mengumpul tandatangan membantah pendirian memorandum JAG SIS yang telah diberikan kepada Perdana Menteri juga telah diadakan bersempena program tersebut.

Selain itu, seminar juga akan diadakan bagi mendidik masyarakat tentang isu ini dengan lebih jelas. Seminar akan diadakan pada 22 Okt 2009 di Selangor, 25 Okt 2009 di Kuantan, Pahang dan 14 Nov 2009 di Sarawak. Malah, dalam seminar tersebut akan diadakan demonstrasi sebatan mengikut syariah bagi menbetulkan salah tanggapan pihak tertentu terhadap hukuman sebatan. Semoga usaha-usaha ini dapat mendidik masyarakat tentang pelaksanaan syariah di negara ini melalui mahkamah syariah dan sebagainya.

Khamis, 15 Oktober 2009

Gotong Royong di Masjid Lama, Sepang

Dimaklumkan bahawa ABIM Bangi akan terlibat di dalam program gotong-royong bersama-sama ABIM Sepang. Butiran lanjut program adalah seperti berikut :

Tarikh : 18 Okt 2009 (Ahad)
Masa : 8.30 pagi
Lokasi : Masjid Lama, Sepang

Justeru itu dijemput ahli, aktivis, rakan serta orang ramai menyertai program gotong-royong ini. Untuk maklumat lanjut sila hubungi Sdr Ahmad Zulkiflli (ABIM Sepang) di 012-944 4646.

Gerak-Kerja ABIM Bangi : Isu JAG-SIS : Kartika

Berikut adalah beberapa gerak-kerja yang dijalankan oleh ABIM Bangi bagi menangani isu Joint Action Gender (JAG) Sisters in Islam (SIS) : Isu Kartika. Ia seperti dibawah

1) Sidang Media Mengenai Perkembangan Laporan Polis terhadap JAG SIS & Penganjuran Seminar Pelaksanaan Hukuman Syariah di Malaysia

Tarikh : 15 Okt 2009 (Khamis)
Masa : 2.30 petang
Lokasi : Islamic Outreach ABIM (IOA)

Sdr Nizam & Sdr Hammad akan hadir mewakili ABIM Bangi ke Sidang Media tersebut. ABIM Bangi telah membuat laporan polis tentang isu ini di Balai Polis Bangi, baru-baru ini.

2) Ceramah Isu JAG SIS : Kartika (1)

Tarikh : 15 Okt 2009 (Khamis)
Masa : Selepas Solat Maghrib
Lokasi : Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Kampus Pendidikan Islam, Sg. Merab, Bangi, Selangor
Oleh : Pn. Fadhlina Siddiq, Naib Presiden ABIM & Sdr Hammad, Setiausaha ABIM Bangi.

3) Ceramah Isu JAG SIS : Katika (2)
Tarikh : 17 Okt 2009 (Sabtu)
Masa : 11.00 pagi
Lokasi : PEKKA, No 45, Jalan 8/3, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor

Justeru itu orang ramai dijemput hadir ke ceramah tersebut.

Isnin, 12 Oktober 2009

Kumpulan Pengkajian Islam (14102009) - Surah Muzzammil

14 Okt 2009 - ABIM Bangi akan mengadakan program Kumpulan Pengkajian Islam (usrah) jam 9.00 malam di Rumah Sdr Baktiar, C00-001, Sri Lavender Apartment, Taman Sepakat Indah 2, Sg. Chua, Kajang, Selangor (berdekatan dgn Seksyen 7, BBB). Ayat Al-Quran yang dikupas ialah Surah Al-Muzammil. Sumber rujukan buku : Manhaj Pendidikan Gerakan Islam : Sukatan & Kaedah Pelaksanaan Usrah, terbitan ABIM, Cetakan Pertama, 2009. Ayat tersebut menekankan tentang penting bangun malam melaksanakan qiyamulail serta diisi dengan membaca al-quran. Ia adalah seruan kepada buat umat Islam yang menjalankan misi rahmatan lil alamin di muka bumi ini. Berdasarkan Buku bertajuk : Pendidikan Islam dan Madrasah Hasan Al-Banna tulisan Dr. Yusof Al-Qardhawy. Terdapat 4 jenis sikap manusia terhadap dakwah iaitu 1) Seorang yang mukmin apabila diajak menyertai usaha dakwah, mereka terima dan laksanakan bersama 2) manusia yang ragu-ragu, tidak jelas halatuju hidup, maka perlu didekati melalui tulisan yang dihasilkan agar mereka jelas tujuan dan peri pentingnya dakwah 3) Manusia yang oppourtunis iaitu mereka yang hanya berbuat sesuatu hanya apabila mereka mendapat faedah semata. Maka, mereka perlu diberikan ruang untuk kerja-kerja kebaikan 4) Manusia yang menentang bersikap buruk terhadap dakwah dan gerakan Islam, maka, dipanjatkan doa kepada Allah agar diberikan hidayah dan kasih sayangNya. Oleh yanhg demikian, persiapan dalaman diri amat penting di kalang petugas dakwah agar dapat menghadapi cabaran dengan jayanya.

Ahad, 11 Oktober 2009

Gotong-Royong di PEKKA, Seksyen 8 Bandar Baru Bangi Lancar

11 Okt 2009 - ABIM Bangi telah mengadakan gotong-royong jam 9.00 pagi di PEKKA Seksyen 8, Bandar Baru Bangi Ia bertujuan untuk memastikan PEKKA berada di dalam keadaan bersih dan baik untuk program Sambutan Eid pada 17 Okt 2009. Ia juga secara tidak langsung merapatkan silaturrahim sesama ahli serta menyihatkan badan melalui aktiviti fizikal yang berfaedah.

ABIM Bangi Hadir ke Himpunan Umat Islam - Isu Kartika


10 Okt 2009 - ABIM Bangi telah menghadiri Forum : Himpunan Umat Islam - Isu Kartika di Masjid As-Solihin, Kg. Teras Jernang, Bandar Baru Bangi. Ia dianjurkan oleh Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) dan Jawatankuasa Masjis As-Solihin. Ahli Panel terdiri daripada Ust. Salleh Ahmad (Persatuan Ulama Malaysia), En. Zainul Rijjal Abu Bakar (Persatuan Pegua Muslim), Prof. Madya. Dr. Kamaruzzaman Yusof & Pn. Fadhlina Siddiq, Naib Presiden, ABIM. Sdr Amidi Abd Manan telah membacakan tuntutan 14 NGO Islam di Pahang terhadap Isu JAG-SIS : Kartika. Selain itu, pada 25 Okt 2009 juga akan diadakan Seminar Pemahaman Tentang Peranan Mahkamah Syariah di Pahang. Melalui Forum tersebut jelas, ahli panel membantah kenyataan dan tuntutan JAG-SIS terhadap Isu Kartika. Pada masa yang sama, usaha-usaha pendidikan kepada masyarakat tentang peranan mahkamah syariah perlu bukan sahaja diteruskan bahkan diperhebatkan. Turut hadir ke Forum tersebut, Sdr Khairuddin Abas, Setiausaha, ABIM Selangor. Malah, ABIM Selangor juga telah membuat laporan polis di Shah Alam, Selangor pada hari ini tentang isu yang sama.

ABIM Bangi Membuat Laporan Terhadap Isu JAG -SIS : Kartika


9 Okt 2009 - ABIM Bangi diwakili Sdr Baktiar dan Hammad telah membuat laporan aduan mohon siasatan lanjut terhadap kenyataan SIS baru-baru ini di Unit Penguatkuasaan, Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat tentang Isu JAG - Sisters in Islam (SIS) : Kartika. Aduan telah diterima oleh Ust Norhisham Mohd Idris, Penolong Pegawai (Penguatkuasaan) Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat yang juga merangkap Ketua Unit Penguatkuasaan. Beliau akan merujuk hal ini dengan Pegawai Tadbir Agama dan Ibupejabat Jabatan Agama Islam Selangor di Shah Alam untuk tindakan lanjut. Selain itu juga, ABIM Bangi juga telah membuat laporan polis tentang isu yang sama di Balai Polis, Bandar Baru Bangi untuk siasatan lanjut. Usaha ini sejajar dengan usaha ABIM Selangor untuk mengerakkan usaha advokasi di kalangan massa agar tidak ada pihak sama individu mahupun NGO yang mempertikai mahkamah syariah di negara ini.

Jumaat, 9 Oktober 2009

Himpunan Umat Islam Mempertahankan Mahkamah Syariah - Isu Kartika

Dimaklumkan Himpunan Umat Islam Mempertahankan Mahkamah Syariah - Isu Kartika akan diadakan. Butiran lanjut adalah seperti berikut :

Tarikh : 10 Okt 2009 (Sabtu)
Masa : 9.00 malam
Lokasi : Dewan, Masjid As-Solihin, Kg. Teras Jernang, Seksyen 14, Bandar Baru Bangi Selangor
Anjuran Bersama : Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Jawatankuasa Masjid As-Solihin & Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi.

Ahli panel

1. Ust Saleh Ahmad - Persatuan Ulama Malaysia (PUM)
2. Cikgu Azmi Abd Hamid - Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)
3. En. Zainur Rijal -Peguam Muslim
4. Pn. Fadhlina Siddiq - Naib Presiden, ABIM

Justeru semua ahli, aktivis, sahabat dan masyarakat yang prihatin dapat datang beramai-ramai ke program tersebut. Sookongan padu dihargai.

Khamis, 8 Oktober 2009

Gotong Royong di PEKKA

ABIM Bangi akan mengadakan aktiviti gotong-royong di PEKKA. Butiran lanjut adalah seperti berikut :

Tarikh : 11 Okt 2009 (Ahad)
Masa : 9.00 pagi
Lokasi : PEKKA, No 45, Jalan 8/3, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi.

Justeru iti dujemput ahli, aktivis serta sahabat untuk bersama-sama menjayakan aktiviti ini. Sila bawa penyapu, mop, sabun basuh dll untuk kegunaan program nanti.

ABIM Selangor, WADAH Selangor, PEPIAS menyerahkan memorandum bantahan terhadap kenyataan SIS dan JAG

Tepat jam 4.15 petang Isnin 5 Oktober 2009 di Tingkat 7 Menara Selatan Bangunan Sultan Idris Shah, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Selangor, Wadah Pencerdasan Ummat (WADAH) Negeri Selangor dan Persatuan Pelajar Islam Selangor (PEPIAS) menyerahkan memorandum bantahan terhadap kenyataan Joint Action Group for Gender Equality (JAG) yang disertai oleh SIS dan WAO serta konco-konco mereka melalui memorandum kepada YAB Perdana Menteri bertajuk Justice For Kartika bertarikh 25 OGOS 2009 telah mendesak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri MEMANSUHKAN UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARIAH yang sedang berkuatkuasa di negeri-negeri (Sila rujuk sinchew.com untuk memorandum penuh mereka bertajuk “Justice for Kartika”).

Memorandum diserahkan kepada wakil pengarah JAIS, Utz. Hj. Ahmad Zaki @Ahmad Jakai B. Arshad,(Ketua Penolong Pengarah (Dakwah).Memorandum di serahkan oleh Tuan Haji Nik Mohd Yusop , Timbalan Pengerusi WADAH Negeri Selangor serta Ustaz Mohd Zawawi , Ahmad Mughni , Yang Di Pertua ABIM Selangor dan Sdr Razman Razali wakil PEPIAS. Turut serta ialah Sdr Khairudin Abas , Setiausaha ABIM Negeri Selangor, Sdr Zamani Mohd Karulani , YDP ABIM Daerah Gombak dan Hjh Hazlina Abd Razak, Mantan Ketua HELWA.

Tuntutan biadap ini telah diulangi lagi sebagaimana yang tersiar dalam The Star hari 1 Oktober 2009, Ivy Josiah, Pengarah Esksekutif WAO berkata –“We urge the Federal and State governments to conduct comprehensive review of all laws pertaining to Syariah criminal offences with a view to repeal such laws.”

Memorandum sebegini juga pernah dikemukakan kepada Kerajaan pada tahun 2005 dan ditandatangani oleh lebih 300 individu dan NGO termasuk Menteri-Menteri Kabinet dan ahli politik beragama Islam yang sedang berkhidmat supaya kawalan moral melalui penguatkuasaan undang-undang Syariah dihapuskan.

Bagi ABIM Selangor, Wadah Selangor dan PEPIAS ini perbuatan ini menghina kedaulatan agama Islam sebagai agama Negara dan agama Negeri-Negeri serta perundangan Syariah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan diwarisi sejak zaman Kesultanan Melayu (sebagaimana termaktub dalam Kanun Undang-Undang Negeri-Negeri Melayu)
ia juga menyentuh dan menjejaskan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam bagi Negeri-Negeri, bercanggah dengan prinsip dalam Perkara 3 (2) Perlembagaan Persekutuan dan menghina hukum Syarak yang sedang berkutakuasa melalui Enakmen-Enakmen Negeri, serta mengguris perasaan dan sensitivity beragama umat Islam

Ahad, 4 Oktober 2009

ABIM Bangi Mengucapkan Takziah Buat Keluarga Allahyarham Dr. Feisal Othman (UKM)

Assalamualaikum wrh.wbt.

4 Okt 2009 - ABIM Bangi mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Dr. Feisal Othman yang merupakan sahabat lama ABIM dan juga bertugas sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Difahamkan Allahyarham meninggal dunia akibat terjatuh di bilik air jam 1 pagi dan pada masa yang sama, beliau ada mempunyai penyakit jantung. Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di Bandar Baru Bangi semalam. Marilah kita sama-sama membaca Al-Fatihah!buat arwah.Semoga rohnya dicucuri rahmat hendaknya.

Baktiar Hasnan
Timbalan Yang Dipertua (TYDP)
ABIM Bangi

Sambutan Eidul Fitri Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Daerah Hulu Langat (DHL) 2009


3 Okt 2009 - ABIM Bangi telah menghadiri program Sambutan Eidulfitri Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Daerah Hulu Langat jam 10 pagi di Dewan Cempaka, Kompleks PKNS. Ia telah dirasmikan oleh Y. Bhg Dr. Hj. Tajul Ariffin Noordin, Yang Di Pertua (YDP) Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi (PPBBB). Program tersebut turut dihadiri oleh Sdr Baktiar, TYDP ABIM Bangi,Dr. Kamil Azmi, Presiden dan Dr. Ahmad Kamsani, Timb. Presiden PEMBINA, Sdr Aizuddin, Pengerusi PEMBINA DHL serta En. Khairuddin, Setiausaha Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Hulu Langat. Tujuan program ini diadakan ialah untuk mengukuhkan silaturrahim sesama ahli dan juga pelbagai organisasi setempat yang ada. Selain itu, turut diadakan pameran tentang PEMBINA serta kaunter pendaftaran sukarelawan PEMBINA. Hadirin yang hadir terdiri daripada mahasiswa/i daripada 15 pusat pengajian tinggi di sekitar hulu langat.

Sabtu, 3 Oktober 2009

Majlis Jamuan Hari Raya & Akhir Tahun 2009 - Tahfiz ABIM Bangi


2 Okt 2009 - Pusat Tahfiz ABIM Bangi telah mengadakan program Jamuan Hari Raya & Akhir Tahun jam 8.00 - 11.00 malam di KAGUMAS, Taman IKS, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi. Seramai 250 orang hadirin yang terdiri daripada guru-guru, staf, ahli lembaga pengurusan serta anggota keluarga masing-masing termasuk pimpinan ABIM Bangi telah memeriahkan program tersebut. Tujuan program ini diadakan ialah untuk merapatkan silaturrahim di antara guru-guru, lembaga pengurusan, pimpinan ABIM Bangi serta keluarga masing-masing. Pada masa sama, ia juga adalah medan untuk menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru selama ini. Selain jamuan makan, turut diadakan sesi penyampaian hadiah Anugerah Khidmat Setia iaitu kepada guru-guru yang telah berkhidmat selama 20 tahun, 15 tahun dan sebagainya. Malah, turut diadakan cabutan bertuah sepanjang program berlangsung. Semoga Pusat Tahfiz ABIM Bangi terus cemerlang di dalam memberikan pendidikan terbaik di kalangan kanak-kanak, remaja di Bangi.

Jumaat, 2 Oktober 2009

Kumpulan Pengkajian Islam (usrah) 07102009

ABIM Bangi akan mengadakan program Kumpulan Pengkajian Islam (usrah). Butiran lanjut ada seperti berikut :

Tarikh : 7 Okt 2009 (Rabu)
Masa : 9.00 mlm
Lokasi : PEKKA, No 45, Jalan 8/3, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi.

Dijemput ahli, aktivis,sahabat handai untuk menghadiri program tersebut. Semoga usaha ini dapat meningkatkan kefahaman tentang Islam sebagai cara hidup yang komprehensif atau menyeluruh

Khamis, 1 Oktober 2009

Majlis Jamuan AidilFitri ABIM & Agensi 2009 turut dihadiri ABIM Bangi

1 Okt 2009 - ABIM bersama PKPIM & WADAH telah mengadakan Sambutan Aidilfitri ABIM & Agensi 2009 di Dewan, Masjid Negara. Program bermula 11.30 pagi hingga 4.30 petang. Tujuan program diadakan ialah untuk merapatkan silaturrahim yang telah terjalin selama ini. Pada masa yang sama, mengukuhkan muafakat dan agenda Islamisasi di kalangan masyarakat yang unik dan pelbagai latarbelakang. Program ini turut dihari wakil pimpinan ABIM Bangi seperti Sdr Ahmad Saparuddin (YDP), Sdr Hammad (Setiausaha) dan Sdr Nizam (Bendahari)