Rabu, 31 Ogos 2011

Perutusan Aidilfitri 1432H - ABIM Selangor

Assalamualaikum w.r.t w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada Bulan Ramadhan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu.” (Surah Al-Baqarah: 185)

Kepada semua pendokong dakwah dan pencinta tarbiah serta sekalian umat Islam, bagi pihak Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Selangor Darul Ehsan mengucapkan Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri 1432H. Semoga kita tergolong dalam golongan minal ‘aidin wal faizin dalam erti kata yang sebenar serta didoakan semoga setiap dari kita akan mendapat taqwa hasil daripada menghidupkan Ramadhan tahun ini. Moga kita diberikan kekuatan oleh Allah dalam menangani isu-isu umat Islam dan menanganinya dengan cara yang terbaik dan hikmah. Dalam keghairahan menyelesaikan masalah atau isu yang timbul, meletakkan ilmu dan bersandarkan Al-Quran dan sunnah Rasulullah amat penting di samping ketajaman analisis dalam menyelesaikan kemelut yang melanda.

ABIM Negeri Selangor mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih jazakumullah khairul jaza’ kepada semua penyumbang yang menjayakan program Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB) peringkat Negeri Selangor lebih 500 kampit beras dapat diagihkan kepada sasaran di segenap sudut Negeri Selangor dan Program Sandang Raya untuk dinikmati bersama keberkatan Ramadhan ini. Terima kasih khusus untuk semua penyumbang, ABIM Pusat, ABIM Daerah di Selangor terutama ABIM Bangi, ABIM Shah Alam, ABIM Klang, ABIM Kuala Langat, ABIM Hulu Selangor, ABIM Gombak, semua ABIM Daerah, Darul Wardah dan agensi-agensi di bawah ABIM Selangor yang terlibat mengumpul dana dan tenaga. Tidak lupa kepada semua sukarelawan ABIM yang bertungkus lumus memberi khidmat dan bantuan. Itulah yang menjadi impian untuk menggerakkan setiap individu, rasa keprihatinan terhadap umat serta merealisasikan ABIM Sebagai Gerakan Ilmu dan Bakti. Semoga kita dapat meneruskan program-program seperti ini bukan hanya pada bulan Ramadhan tetapi juga bulan yang lain. Ambillah peluang Aidilfitri yang ada ini dengan memenuhkan setiap ruang masa dan peluang mengamalkan sunnah dan beribadah kepada Allah. Memenuhi ruang masa dengan takbir dan amalan-amalan sunat yang dianjurkan.

Kejayaan kita sebagai Muslimin dan Mukminin disambut kemerdekaan pada 1 Syawal. Merdeka dari bentuk fikir, jasmani, emosi dan rohani setelah melalui proses pembersihan sepanjang bulan Ramadhan. Tidak lupa juga diucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang Ke 54 bagi tahun 2011. Semoga kemerdekaan pada tahun ini lebih bermakna dan memberikan harapan lebih besar dalam usaha kita semua memacu usaha dakwah di Negeri Selangor khasnya dan seluruh negara umumnya.

Kesempatan yang ada ini, mewakili Saf Qiyadah pimpinan ABIM Negeri Selangor memohon kemaafan andai tersilap kata dan perbuatan dalam melaksana tanggungjawab dan amanah yang di galas. Tunjuk ajar dan peneguhan amat diperlukan dalam tanzim mengurus gerakan ini. Semoga dengan bekalan yang terbaik Ramadhan kali ini, kita diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar walillahilham.

MENEGAKKAN KEBENARAN DAN KEADILAN

KHAIRUDIN BIN ABAS
Yang Dipertua
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Selangor Darul Ehsan

AIDILFITRI BUKA LEMBARAN KEHIDUPAN BARU YANG POSITIF: PRESIDEN

Bulan Ramadhan bakal meninggalkan kita tidak berapa lama lagi. Sebagai hamba yang mendambakan keakraban dengan khaliqnya ia bermakna tinggal sudah satu lagi kesempatan merapatkan diri dengan-Nya. Belum pasti kita akan mendapat kesempatan sebegini lagi pada tahun yang akan datang.

Berlalunya bulan Ramadhan juga bererti berlalunya rutin berpuasa selama sebulan. Berpuasa adalah amalan yang menyihatkan dari sudut fizikalnya. Sebagaimana yang disabdakan Rasul “Berpuasalah nescaya kamu sihat”. Menerusi berpuasa kita meningkatkan disiplin penjagaan kesihatan menerusi waktu makan yang terhad.

Perginya bulan Ramadhan bukanlah membawa bersamanya silaturahim yang dibina didalamnya. Dibulan Ramadhan kita bersua muka di masjid mahupun di surau, bertemu di majlis khatam Al-Quran, bertadarus bersama dan bersua menyampaikan derma. Mudah-mudahan silaturahim umat terus berkekalan dan bertambah teguh pada masa-masa yang akan datang.

Menjelmanya Aidil Fitri petanda kemenangan telah kita capai. Kemenangan dalam perjuangan tidak mungkin dapat kita kecapi tanpa didahului dengan pengorbanan. Pengorbanan yang paling asas adalah pengorbanan mengekang hawa nafsu. Hawa nafsu perlu ditundukkan terlebih dahulu barulah musuh akan mengaku kalah.

Namun sebesar mana pun kemenangan dicapai, sehebat mana pun dugaan dikalahkan, ia tidak bererti jika nafsu terus menggila, riak bermaharaja lela dan mabuk bersama keangkuhan diri.

Menjelang Aidil Fitri seharusnya menjadi petanda lembaran baru perhubungan samada dengan khaliq dan makhluq. Lembaran baru kepada sang pejuang yang memburu syahid bagi mendapat keredhaan Ilahi.

Redhanya Ilahi lantaran bersihnya dosa, redhanya manusia lantaran noda yang telah dilupakan.

Salam Aidil Fitri kepada semua pendokong dan penggerak dakwah. Maaf zahir batin.
“MEMBINA DAN MEMIMPIN TAMADUN KHAYRA UMMAH”


AMIDI ABD MANAN
Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

BUSKING MARHAEN PRE-SYAWAL@Jalan TAR



Pada akhir ramadhan baru-baru ini. aktivis ABIM Bangi telah mengadakan inisiatif untuk mendapatkan kutipan sumbangan Somalia sempena Ramadhan dengan kerjasama Batch85di Jalan TAR, Kuala Lumpur. Kutipan kali ini mencecah RM380. Setinggi perhargaan buat 'afifah Nasir Mohd Hafizuddin Al-Attas dan Wanza Idwan Idris yang telah menjayakan usaha ini. Semoga usaha yang kecil tetapi amat bermakna ini akan meningkatkan keprihatinan masyarakat kepada umat Islam yang diancam kebuluran di Somalia.

Sesi Penyerahan Bantuan Sekampit Beras di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi Berjaya



Pada 20 Ogos 2011, ABIM Bangi dengan kerjasama Hal Ehwal Wanita (HELWA) ABIM telah mengadakan sesi penyerahan bantuan sekampit beras kepada 74 ibu tunggal yang tinggal di sekitar Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, Selangor. Ia telah diserahkan oleh Sdr Amidi Abd Manan, Presiden ABIM. Ia turut di hadiri Pn. Fadhlina Siddiq, Naib Presiden ABIM, pimpinan, aktivis serta sukarelawan ABIM Bangi. Semoga usaha ini sedikit sebanyak mengukuhkan jalinan prihatin ABIM bersama masyarakat terutamanya di bulan ramadhan mubarak ini.

Sesi Penyerahan Kempen Sekampit Beras di Semenyih Lancar



Pada 27 Ogos 2011 jam 11.00 pagi di perkarangan Surau As-Syakirin, Taman Pelangi Semenyih Fasa 6 & 7, ABIM Bangi telah bekerjasama dengan Jawatankuasa Surau As-Syakirin dan Persatuan Penduduk Taman Pelangi Semenyih Fasa 6 & 7 menganjurkan sesi penyerahan bantuan sekampit beras kepada mereka yang memerlukan di Semenyih dan Bandar Rinching. Seramai 54 keluarga telah menerima bantuan tersebut. Wakil Persatuan dan Surau telah membantu mengedarkan bantuan tersebut agar berjalan dengan lancar. Semoga bantuan ini dapat meringankan beban yang ditanggung tatkala syawal bakal menjelma tidak lama lagi

Selasa, 23 Ogos 2011

Bantuan Segera Kempen Sekampit Beras untuk Ibu Tunggal Muallaf



Pada 22 Ogos 2011 (Isnin)jam 6.30 ptg di Pangsapuri Seri Anggerik, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, ABIM Bangi & HELWA ABIM Pusat dan Bangi telah menziarahi Makcik Hamidah, ibu tunggal muallaf anak lima untuk menyerahkan bantuan segera kempen sekampit beras setelah mendapat infomasi. Rumah tersebut didiami seramai 10 orang dengan hanya 2 bilik sahaja. Penyerahan bantuan segera ini disertai oleh Naib Presiden, HELWA ABIM, pimpinan ABIM Bangi & HELWA ABIM serta aktivis yang prihatin. Bantuan yang diberikan berupa beras, makanan berbuka puasa serta barang-barang keperluan asas rumah. Semoga usaha ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung tatkala syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi

Ahad, 21 Ogos 2011

Sukarelawan ABIM Bangi Jayakan Tabung Bergerak Misi Bantuan Somalia di Bazar Ramadan


Pada 21 Ogos 2011 (Ahad) mulai jam 5.30 petang di Bazaar Ramadhan, belakang Kompleks PKNS, Bandar baru Bangi, Sukarelawan ABIM Bangi yang terdiri daripada anak-anak muda prihatin telah menjayakan kempen tabung bergerak Misi Bantuan Somalia kendalian Global Peace Mission (GPM). Tujuan utama ia diadakan ialah untuk mendapatkan dana sebanyak mungkin daripada masyarakat untuk disalurkan bagi menjayakan bantuan kemanusiaan kecemasan secepat mungkin. Ini kerana krisis kemanusiaan semakin meruncing tatkala umat Islam di seluruh dunia sibuk menghadapi bulan ramadhan dan syawal tidak lama lagi. Ia telah mendapat sambutan yang baik di kalangan pengunjung yang sibuk membeli juadah berbuka puasa. Sebanyak RM1210, EURO20 dan Singapore Dollar (SD)1.40 telah disumbangkan. Terima kasih semua, semoga usaha ini diberkati Allah SWT dan akan diteruskan lagi di lokasi yang pelbagai.

POLEMIK JAIS-DUMC-HK: JANGAN CETUSKAN KERESAHAN UMAT ISLAM

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berasa terpanggil untuk memberi penegasan pendirian terhadap polemik antara Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta Harapan Komuniti (HK) dan Damansara Utama Methodist Church (DUMC).
Sejak polemik pemeriksaan JAIS ke atas majlis ‘Thanksgiving’ pada 3 Ogos 2011, pelbagai pihak telah mengeluarkan kenyataan dan pendirian yang berbeza. Dalam menanggapi kenyataan dan pendirian ini, WADAH-ABIM-PKPIM menilai ia lebih bersikap melulu dan tidak memberi keadilan yang sewajarnya kepada semua pihak.

Kami merujuk kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh tokoh-tokoh seperti Reverend Thomas Philips, Ketua Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) dan Pastor Daniel Ho, yang membina persepsi umum kononnya kekerasan telah digunakan oleh JAIS dalam pemeriksaan yang diadakan ke atas Harapan Komuniti (HK) serta Damansara Utama Methodist Church (DUMC). Kami juga ingin melahirkan rasa kesal dengan sikap membisu pihak penganjur iaitu HK serta ingin mempersoalkan motif HK untuk membiarkan pihak gereja menjawab segala persoalan dari awal. Sebagai organisasi yang mendakwa dianggotai oleh ahli-ahli pelbagai agama dan lapisan masyarakat, HK seharusnya memahami konteks sosial masyarakat Malaysia di mana kita hidup saling hormat-menghormati.

Pihak kami ingin melahirkan rasa kesal apabila HK secara langsung tidak mengormati sensitiviti umat Islam dengan menyanyikan dua lagu kesyukuran dalam Bahasa Melayu iaitu - “Allahu Akhbar” dan “Allhamdulillah” dan tentang sebuah kuiz yang mencetuskan persoalan-persoalan berikut; Adakah soalan-soalan dalam kuiz tersebut ditujukan untuk semua peserta? Atau ia khusus untuk 15 atau lebih peserta Islam yang hadir?

Sepanjang polemik ini berlaku, pihak JAIS telah memberikan kerjasama serta penjelasan yang sewajarnya berhubung dengan beberapa isu yang diketengahkan. Pihak kami telah mendapat penerangan dan penjelasan daripada pihak JAIS. Meskipun begitu, usaha kami untuk mengadakan dialog dengan DUMC dan penganjur telah menemui jalan buntu sekaligus menghalang kami untuk mendapatkan pandangan mereka berhubung dengan isu ini.

Ini selari dengan pendirian kami yang menggalakkan dialog secara sihat serta tertutup tanpa perlu digembar-gemburkan menerusi saluran media. Mengambi kesempatan ini, ABIM-WADAH-PKPIM ingin menzahirkan penghargaan kami terhadap keprihatinan sesetengah kelompok gereja serta sebahagian besar masyarakat Kristian yang menghormati sensitiviti umat Islam serta kedudukan istimewa Islam sebagai agama Persekutuan di negara ini. Bahkan, pihak kami juga sering berusaha untuk menjalinkan hubungan yang baik dengan mereka di samping bekerjasama dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan menggalakkan dialog antara agama.

Sebagai penegasan dan teguran, kami merasa amat kesal dengan keengganan pihak DUMC dan HK untuk menggunakan saluran dialog menyelesaikan kemelut ini. Kami juga ingin mengetengahkan peringatan tegas agar sebarang aktiviti serupa yang meragukan sepertimana membabitkan HK dan DUMC tidak diulangi lagi.

Sepanjang pemerhatian kami ketika polemik ini, kami memandang berat terhadap tindakan segelintir ahli politik yang seakan menjadikan insiden ini sebagai batu loncatan mencetuskan polemik politik yang tidak menyenangkan . Pihak kami juga ingin melahirkan kekesalan terhadap tindakan NGO-NGO tertentu yang seakan merelakan diri mereka diperkudakan untuk memenuhi agenda politik pihak tertentu, dengan memanipulasi keprihatinan serta kegusaran di kalangan umat Islam di negara ini mengenai beberapa isu yang menyentuh secara langsung sensitiviti serta kepentingan mereka.

Berkenaan polemik JAIS-DUMC-HK, kami menyokong tindakan JAIS membuat pendakwaan di mahkamah sekiranya terdapat bukti yang kukuh bahawa wujud usaha memurtadkan umat Islam oleh pihak yang berkenaan. Mengambil iktibar dari kemelut ini, kami menyeru agar masyarakat tidak mudah tertipu dan sentiasa bersikap objektif dan mengambil pendekatan dialog dalam menyelesaikan isu berkaitan ini. Kami juga berharap agar pihak institusi agama di setiap negeri mempergiatkan aktviti dakwah dan mendekati golongan sasar yang memerlukan bantuan dan sokongan.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

http://www.abim.org.my/component/content/article/6-laporan-aktiviti/214-polemik-jais-dumc-hk-jangan-cetuskan-keresahan-umat-islam.html

Sabtu, 13 Ogos 2011

Majlis Iftar Jamaie WADAH-ABIM-PKPIM

Dimaklumkan bahawa akan diadakan Majlis Iftar Jamaie WADAH-ABIM-PKPIM & Bicara Ramadhan. Butiran lanjut program seperti berikut:

Tarikh : 13 Ogos 2011 (Sabtu)
Masa : 7.00 - 11.00 mlm
Lokasi : Kolej Dar Al Hikmah (KDH), Sg Ramal Dalam, Kajang, Selangor
Anjuran : WADAH-ABIM-PKPIM

Aktiviti yang akan dijalankan termasuk
1. Majlis berbuka puasa
2. Solat maghrib & isyak berjamaah
3. Solat terawih berjamaah
4. Bicara ramadhan

Justeru itu, semua aktivis, ahli WADAH-ABIM-PKPIM hadir ke program tersebut.

Sukarelawan ABIM Bangi Menyalurkan Bantuan Kempen Sekampit Beras

Pada 13 Ogos 2011 (Sabtu) mulai jam 2.00 petang bertempat di Kg Sg Ramal Dalam, Kajang, Selangor, Sukarelawan ABIM Bangi seramai 20 orang telah berjaya mengedarkan bantuan kepada 48 keluarga penerima bantuan program Sekampit Beras. Ia telah mendapat sokongan dan kerjasama ABIM Pusat dan Jawatankuasa Masjid Al-Falah, Kg. Sg Ramal Dalam, Kajang, Selangor. Program ini secara tidak langsung membolehkan sukarelawan dapat bersama-sama meringankan bebanan golongan yang memerlukan.Ia adalah program tahunan yang dijalankan sempena bulan ramadhan mubarak. Selain itu melalui program ini juga ia dapat merapatkan silaturrahim antara ABIM Bangi dengan komuniti setempat.

FORUM REFORMASI PILIHANRAYA & PEMURNIAN DEMOKRASI

Pada 13 Ogos 2011 jam 9.00 pagi di Dewan Besar, Kolej Dar Al Hikmah (KDH), Sg Ramal Dalam telah diadakan Forum Reformasi Pilihanraya & Pemurnian Demokrasi. Ia dianjurkan oleh Grup Peguam ABIM (GPA). Ahli Panel terdiri daripada Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM) Prof Dr Redzuan Othman, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah dan Pengarah Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) Wan Mohd Firdaus Wan Mohd Puaad. Semua ahli panel bersetuju usaha-usaha reformasi pilihanraya dan pemurnian demokrasi perlun digerakkan oleh semua pihak. Gagasan dan budaya politik baru yang menghormati keputusan rakyat perlu diperkukuhkan dan bukannya memperbodohkan rakyat. Program tersebut turut dihadiri aktivis dan pimpinan ABIM Bangi

Isnin, 8 Ogos 2011

Jom Hayati Ramadahn Mubarak - Jadual Tadarus Al-Quran Bersama

Pendahuluan

Bagi menghidupkan Ramadhan 1432H, Abim Bangi mencadangkan untuk mengadakan program tadarus sepanjang bulan ramadhan dengan harapan dapat menghabiskan 30 Juz sepanjang Ramadhan. Tempat yang dicadangkan adalah surau dan Masjid sekitar Bangi.

Ihya’ Ramadhan Abim Bangi Sesi 2011/2012

Program : Tadarrus Quran
Tarikh/Masa : Sepanjang Ramadhan.
Tempat : Surau & Masjid sekitar Bangi

Jika berminat sertai sila hubungi Sdr Faizal Mahyudin 019-4788894 untuk penyertaan.

Bil Tarikh Tempat Juz Remark
1. 3 Ogos 2011 (Rabu) Rumah Hammad 1 Sebelum Maghrib
2. 6 Ogos 2011 (Sabtu) Masjid Besi, Putrajaya 2-5 Bermalam di Masjid
3. 7 Ogos 2011 (Ahad) Masjid Besi, Putrajaya 6-10
4. 8 Ogos 2011 (Isnin) Surau Seksyen 7 Bangi 11 Sebelum Maghrib
5. 10 Ogos 2011(Rabu) Surau Seksyen 4 Bangi 12 Sebelum Maghrib
6. 13 Ogos 2011 (Sabtu) Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi 13-16 Bermalam di Masjid
7. 14 Ogos 2011 (Ahad) Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi 17-20
8. 15 Ogos 2011 (Isnin) Surau Seksyen 7 Bangi 21 Sebelum Maghrib
9. 17 Ogos 2011 (Rabu) Surau Seksyen 4 Bangi 22 Sebelum Maghrib
10. 20 Ogos 2011 (Sabtu) Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi 23-26 Bermalam di Masjid
11. 21 Ogos 2011 (Ahad) Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi 27-29
12. 22 Ogos 2011 (Isnin) Surau Seksyen 7 Bangi 30 Sebelum Maghrib

Semoga program ini dapat memberi kita roh sebenar Ramadhan dan semoga program ini mendapat keberkatan.

Sabtu, 6 Ogos 2011

Jom Hayati Ramadhan Mubarak Ke-2 di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, Putrajaya

ABIM Bangi meneruskan program Jom Hayati Ramadhan ke-2. Butiran lanjut program seperti berikut

Tarikh : 6 Ogos 2011 (Sabtu)
Masa : mulai 5 petang
Lokasi : Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, Putrajaya

Aturcara program
1. Solat Asar Berjamaah
2. Tadarus Al-Quran Dua Juzuk
3. Berbuka Puasa
4. Solat Maghrib Berjamaah
5. Solat Isyak Berjamaah
7. Solat Terawih Berjamaah
8. Sambung Tadarus Al-Quran lagi tiga Juzuk

Kepada anak muda, aktivis, belia serta beliawanis yang berminat untuk turut serta program ini sila hubungi Sdr Nizam 019-2776587. Jumpa di Sana

Kumpulan Pengkajian Islam (Usrah) Gabungan ABIM Bangi Meriah



Pada 3 Ogos 2011 bertempat di rumah Sdr Hammad di No 27, Jln 3/21, Bangi Perdana, Bandar Baru Bangi, Selangor telah diadakan usrah gabungan ABIM Bangi melibatkan HELWA ABIM Bangi. Lebih 20 orang ahli serta kaum keluarga masing-masing menghadiri majlis tersebut. Ia dimulakan dengan tadarus al-quran, majlis berbuka puasa, solat berjamaah maghrib dan Isyak serta solat terawih berjamaah. Pada masa yang sama ada slot tazkirah. Ia berlangsung dalam suasana yang meriah sekali gus merapatkan hubungan silaturrahim yang terjalin sesama ahli. Ia adakan diteruskan pada masa akan datang

Selasa, 2 Ogos 2011

Induksi Pimpinan ABIM Bangi Berjaya Dilaksanakan


Pada 31 Julai 2011 yang lalu jam 8.30 pagi di Bukit Ekpo, UPM telah diadakan Induksi Pimpinan ABIM Bangi. Tujuan ia diadakan ialah untuk merencana program yang akan diadakan sepanjang tahun sesi 2011/2012, selepas Muktamar Sanawi ABIM Bangi baru-baru ini. Semoga usaha ini akan membolehkan usaha-usaha dakwah lokaliti dapat berjalan dengan lebih lancar.