Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillah hil Hamd.
Tahmid kesyukuran ini melambangkan kerendahan hati manusia di dalam mengabdikan diri setulus-tulusnya terhadap Allah s.w.t. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin mengucapkan selamat menyambut Eidul Adha 1432H kepada seluruh umat Islam di Malaysia serta para jemaah Haji yang sedang menunaikan ibadah berkenaan di tanah suci pada ketika ini.
Bersempena dengan sambutan Eidul Adha yang disambut secara meriah saban tahun, adalah menjadi harapan agar semangat pengorbanan yang merupakan tema teras Eidul Adha dihayati oleh seluruh umat Islam di negara ini. ABIM berharap agar Eidul Adha ini menjadi pemangkin ke arah memperkukuh hubungan silaturrahim dan ukhuwwah Islamiah untuk membangun Khayra Ummah dan memelihara kemakmuran negara serta kesejahteraan negara.
ABIM ingin menyeru agar ketibaan Eidul Adha ini juga dimanfaatkan oleh golongan belia untuk menceburkan diri dalam sebarang aktiviti kemasyarakat yang dianjurkan khususnya program ibadah korban yang dianjurkan di surau dan masjid-masjid serta ziarah-menziarahi kaum kerabat. Khusus buat para pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diharapkan kesempatan Eidul Adha ini dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk mendekatkan diri serta bermunajat ke hadrat Allah s.w.t di samping mengulang kaji pelajaran dengan penuh ketenangan.
Akhir sekali, ABIM menyeru agar umat Islam di Malaysia turut mendoakan umat Islam di pelbagai pecahan benua yang sedang melalui pengorbanan getir mempertahankan maruah, keluarga, agama dan negara. Buat umat Islam di Palestin, Kashmir, Chechnya, Selatan Filiphina, Xinjiang, Timur Tengah, doa kami umat Islam di Malaysia sentiasa bersama kalian dalam semarak Eidul Adha ini.
Eid Mubarak! Kum Am Wa Antum Bil Khair!
MOHAMAD RAIMI AB RAHIM,
Setiausaha Agung,
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
sumber : http://www.abim.org.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan