Jumaat, 16 Oktober 2009

Ceramah Isu Kartika di IPGM, Sg Merab, Selangor


15 Okt 2009 - ABIM Bangi yang diwakili Sdr Hammad, telah dijemput menjadi salah seorang panel Forum Isu Kartika di Masjid, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Kampus Pendidikan Islam selepas solat Maghrib bersama-sama Pn. Fadhlina Siddiq, Naib Presiden, ABIM. Forum tersebut dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IPGM. Sdr Hammad memulakan perbincangan dengan menerangkan tentang hukuman jika bersabit dengan kesalahan minum arak iaitu 3 tahun penjara, bayaran denda RM5000 dan 6 kali sebatan. Beliau juga menerangkan tentang bidang kuasa mahkamah syariah dan mahkamah sivil. Kuasa berkaitan isu-isu Islam tertakluk di dalam bidang kuasa negeri dan bukan persekutuan. Maka, penyelarasan antara kedua-dua mahkamah ini perlu ada dan perlu berjalan dalam keadaan harmoni.

Selain itu, Pn. Fadhlina memaklumkan perkembangan gerak-kerja NGO Islam respon kepada Isu JAG SIS : Kartika ini. Jawatankuasa Bertindak Advokasi Syariah Malaysia (JAWAB) telah dilancarkan dan Sekretariat JAWAB di ABIM. Tujuan JAWAB diwujudkan ialah untuk memantau isu-isu syariah dengan lebih berkesan dan proaktif di dalam masyarakat. Beberapa gerak-kerja telah dan akan dilaksanakan oleh NGO Islam sebagai respon kepada isu ini. Ia termasuk membuat laporan polis, laporan ke Jabatan Agama Islam Negeri dan Daerah, Laporan ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan serahan memorandum ke bawah Duli Tuanku Sultan. Kempen mengumpul tandatangan membantah pendirian memorandum JAG SIS yang telah diberikan kepada Perdana Menteri juga telah diadakan bersempena program tersebut.

Selain itu, seminar juga akan diadakan bagi mendidik masyarakat tentang isu ini dengan lebih jelas. Seminar akan diadakan pada 22 Okt 2009 di Selangor, 25 Okt 2009 di Kuantan, Pahang dan 14 Nov 2009 di Sarawak. Malah, dalam seminar tersebut akan diadakan demonstrasi sebatan mengikut syariah bagi menbetulkan salah tanggapan pihak tertentu terhadap hukuman sebatan. Semoga usaha-usaha ini dapat mendidik masyarakat tentang pelaksanaan syariah di negara ini melalui mahkamah syariah dan sebagainya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan