Isnin, 17 Mei 2010

ABIM Bantah Pemberian Lesen Pertaruhan Piala Dunia 2010

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) membantah sekeras-kerasnya serta merasa amat kesal dengan keputusan kerajaan yang secara rasminya telah memberikan lesen pertaruhan sempena Piala Dunia 2010 kepada Kumpulan BERJAYA. ABIM menilai keputusan ini seakan tidak menghiraukan sensitiviti di kalangan masyarakat Islam di negara ini oleh pihak berkenaan serta dampak sosial yang diakibatkan dari keputusan ini (pemberian lesen pertaruhan).

ABIM menegaskan bahawa keputusan tersebut langsung tidak mempunyai sebarang justifikasi yang munasabah serta hanya bersifat untuk meraih keuntungan material jangka pendek yang boleh memberikan kesan yang negatif ke atas masyarakat dan negara. ABIM dengan ini menyeru kepada semua umat Islam untuk sama-sama membantah keputusan tersebut demi menjaga kesejahteraan setiap lapisan masyarakat di negara ini. Pihak ABIM juga akan menggerakkan bantahan ini di seluruh negara bagi memastikan keputusan ini tidak dilaksanakan demi kesejahteraan semua pihak.

Tiada ada agama di dalam dunia ini yang membenarkan serta menghalalkan perjudian kerana impak negatif sosialnya yang secara langsung akan menyebabkan kemusnahan moral individu, institusi keluarga dan masyarakat serta mencemar imej Malaysia yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi persekutuan. ABIM dengan ini menggesa dan bertegas agar Kerajaan Malaysia menarik semula keputusan pemberian lesen pertaruhan ini demi menjaga kesejahteraan masyarakat dan negara.

AMIDI DATO' ABDUL MANAN

Timbalan Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan