Isnin, 19 September 2011

ISA: ABIM TUNTUT KETELUSAN KERAJAAN

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik pengumuman pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak serta beberapa akta yang berkaitan. Langkah ini mempelihatkan ketelusan kerajaan untuk memelihara ketenteraman dan kebebasan bersuara seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Pengumuman ini menandakan keterbukaan sikap pihak pemerintah terhadap desakan serta pandangan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak terhadap akta tersebut sebelum ini.

Namun demikian, adalah amat malang sekiranya pengumuman ini hanya bersifat populis untuk meraih undi bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 yang dijangka bakal dilangsungkan tidak lama lagi. Dalam konteks ini, ABIM tidak mahu melihat rakyat terperangkap dalam permainan politik dilihat semakin rencam dan mengelirukan rakyat.
Sekiranya inilah yang sebenarnya berlaku, ABIM khuatir ia akan mencetuskan persepsi negatif rakyat terhadap ketelusan pemerintah yang sekaligus menjejaskan integriti serta keabsahan pihak berkenaan dalam melaksanakan agenda transformasinya.

Sesungguhnya kebebasan dan ketenteraman awam merupakan hak asasi seluruh rakyat Malaysia dan ia perlulah dilaksanakan dengan semangat dan komitmen demokrasi yang tinggi. Adalah amat penting agar prinsip ini dilaksanakan di Malaysia tanpa mengira keterikatan individu atau mana-mana terhadap sesuatu parti serta kefahaman politik tertentu.

ABIM dengan ini mendesak pihak yang berkenaan agar menghormati segala lunas perundangan yang telah ditetapkan serta tidak sewenang-wenangnya menghalalkan sebarang penganiayaan serta diskriminasi atas nama menjaga ketenteraman serta kesejahteraan awam. ABIM akan terus memantau serta memberikan kenyataan berhubung dengan pemansuhan akta-akta tersebut di samping proses penggubalan akta-akta yang menggantikannya, agar ia menepati janji pihak pemerintah untuk menjunjung tinggi teras demokrasi serta nilai kebebasan hak asasi manusia di negara ini.


AMIDI DATO’ ABDUL MANAN
Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan