Isnin, 12 September 2011

KENAL PASTI IDENTITI MAKCIK SITT AL-WUZARA SEGERA UNTUK ELAKKAN IMPLIKASI NEGATIF

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin mengulang gesaan menuntut pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia , Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri serta pihak berwajib menyegerakan siasatan ke atas kes Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara. Gesaan ini termasuk mengenal pasti identiti sebenar individu terbabit untuk mengelakkan sebarang implikasi yang tidak menyenangkan. ABIM mengulangai desakan ini berdasarkan kepada meningkatnya pendedahan-pendedahan identiti yang didakwa dibuat yang didakwa sebagai Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara.

Dikhuatiri, kegagalan berbuat (siasatan ke atas identiti sebenar Mak Cik Hajjah Sitt Al-wuzara) demikian akan mengakibatkan insiden-insiden yang tidak menyenangkan dalam bentuk “witch hunt” akan berlaku. ABIM merujuk kepada spekulasi-spekulasi yang sedang diutarakan dalam media-media blog bahawa Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara akan dibunuh, akibat daripada perbuatan ini.

Walaupun penghinaan yang dilakukan tidak boleh dikompromi, ia tidak bermaksud landasan undang-undang tidak boleh digunakan untuk mengambil tindakan ke atas individu-individu seperti Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara.

Justeru, adalah menjadi harapan di pihak ABIM agar pihak berkuasa yang berkenaan dapat mengambil tindakan yang tegas serta segera dalam kes-kes berkenaan untuk mengelakkan implikasi dan persepsi negatif terhadap integriti badan-badan yang berkenaan.

Selain kes Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara, ABIM turut memandang berat penularan blog-blog serta group-group siber yang seakan menidakkan kesucian agama Islam. Tindakan pantas serta efisien daripada pihak berkuasa yang berkenaan adalah perlu memandangkan mereka mempunyai autoriti atau bidang kuasa yang telah ditetapkan menerusi perlembagaan persekutuan serta undang-undang berkenaan.


MOHAMAD RAIMI AB RAHIM
Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan